Friday, January 22, 2010

Menganyam Tapak & Dinding Kraf



Sila rujuk Rajah 1 & 2 di atas. Jumlah tiang tapak adalah 11 (bilangan mesti ganjil + 1 tiang anyaman)



Langkah #1:
Angkat sedikit tiang 1 dengan tangan kiri kemudian patahkan straw ke kiri (lawan jam) rapat ke pusat anyaman & berada di atas tiang 2. Teruskan anyaman dengan mematahkan straw anyaman ke kiri dan  berada di bawah tiang 3. Teruskan anyaman berselang seli (atas & bawah) sehingga straw anyaman kembali ke kedudukan tiang satu (sekarang straw anyaman berada di atas tiang 1). Maka lengkaplah satu putaran anyaman. - (Foto #1, #2 & #3)

Langkah #2:
Pastikan straw anyaman sentiasa disambung apabila panjangnya tinggal 1/4. Teruskan anyaman dan hasilkan 4 lingkaran sebelum kesemua tiang di patahkan ke atas untuk proses menganyam dinding kraf. -(Foto #4)


Langkah #3:
Apabila lengkap 4 lingkaran anyaman tapak dan straw anyaman kembali ke kedudukan tiang 1(sebaiknya tanda dengan titik atau pangkah warna merah), sambil menganyam, patahkan tiang-tiang kraf ke atas. Pastikan sentiasa laraskan tiang-tiang lurus ke atas sewaktu menganyam. -(Foto #6 & #7)


Langkah #4:
Terpulang kepada keselesaan anda, samada menganyam dinding kraf dari luar dinding  atau dari tengah seperti foto-foto di atas. Teruskan anyaman dinding sehingga 10 atau 12 lingkaran. -(Foto # 9 & #10)


Langkah #5:
Setelah lengkap, sapu gam kertas di hujung straw anyaman dan lekatkan ke dinding kraf (selitkan) di sebelah dalam.   -(Foto #11 & #12)


Langkah #6:
Biarkan 3 tiang & 3 tiang bertentangan. Tiang-tiang selebihnya dipatahkan ke bawah. (Foto #13)
Gunting tiang-tiang yang dipatahkan di pangkalnya (jangan sampai terkena dinding kraf). (Foto #14 & #15)
Seterusnya adalah proses untuk membuat tangkai bakul. Mulakan dengan 3 tiang pertama kemudiannya 3 tiang yang bertentangan. Silangkan tiang kiri & kanan dan tiang tengah di atas silangan tersebut. Buat simpulan 'tochang' sehingga ke hujung. Lakukan perkara yang sama untuk 3 tiang yang bertentangan. -(Foto #16)


Langkah #7:
Seterusnya temukan & selisikan sedikit (pintal) kedua-dua simpulan tochang tadi sama tengah dan balutkan sedikit dengan cebisan kertas kecil yang disapu gam (boleh juga gunakan 'masking tape'). -(Foto #17)

Akhir sekali ambil cebisan kertas yang dipotong (1 cm), sapukan gam dihujungnya dan balukan di bahagian tengah tangkai bakul (sama tengah kiri & kanan & bukan kesemua tangkai) untuk membuat kemasan terakhir. Pastikan pangkal tiang-tiang yang telah dipotong di sapu gam kertas.  -(Foto #18)



Proses membuat bakul mini selesai.    -(Foto # 19)

Proses terakhir adalah mewarna kraf:
Bahan pewarna yang paling baik digunakan adalah 'PU Timber Seal' yang boleh dibeli di kedai-kedai 'hardware'. Ianya adalah sejenis varnis yang telah siap dicampur warna (pigmented) dengan pelbagai jenis warna yang digunakan untuk perabut kayu (Warna kuning, perang gelap & cerah, maroon, hijau dan lain-lainnya). Anda boleh minta katelog dari pekedai 'hardware' untuk melihat kod & warna pilihan. Pilihan kod warna yang biasa saya gunakan adalah 102(Mahogany - perang), 107(Redwood - perang gelap) dan jenamanya adalah COLORLAND (buatan Malaysia yang setanding kualitinya dengan jenama impot & lebih murah)

Pek pewarna tersebut adalah dalam bentuk 1.5 liter (+/-RM15) , 1 liter(+/-RM23) & 5 liter(+/-RM90)

PROSES MEWARNA

  1. Buka pek 'PU Timber Seal' & tuangkan sebahagian yang ingin digunakan ke dalam bekas bertutup.
  2. Campurkan sedikit petrol/minyak tanah/tiner untuk mencairkan pewarna (tidak terlalu cair) & kacau rata.
  3. Gunakan berus Cina saiz besar untuk mewarna kraf dan sapukan rata & celahan anyaman. (untuk mengelak tangan terkena varnis, sebaiknya anda pakai sarung tangan getah. Jika bahagian anggota terkena varnis, hilangkannya dengan membasahkan sedikit kain buruk dengan petrol/tiner dan gosok pada anggota yang terkena varnis tadi).
  4. Setelah selesai mewarna, jemurkan kraf di tengah panas terik selama 1 jam atau lebih.
  5. Setelah kering, buat sapuan varnis terakhir dan jemurkannya selama 1 jam atau lebih. Hasilnya, kraf yang berkilau dan keras seperti anyaman kraf rotan atau buluh.
  6. Tuangkan sedikit petrol/minyak tanah/tiner dalam bekas bertutup lain untuk merendam berus, tutup bekas dan simpan ditempat selamat & jauh dari capaian kanak-kanak. Bahan-bahan tersebut adalah mudah terbakar, maka jauhkannya dari punca api. (PERHATIAN, PETROL & TINER BOLEH MENYALA HANYA DENGAN PERCIKAN BUNGA API ATAU BARA PUNTUNG ROKOK)

Nota: Harga pasaran sebiji: RM1.50 ('Market Survey' di Nilai Tiga)

Projek Membuat Bakul Mini (Bakul Telur) Selesai.

Sumber rujukan : Seni Kraftangan Surat Khabar Lama Edisi A  Rozaz Crafts















Thursday, January 21, 2010

Membuat Taja/Tapak Kraf



Langkah #1: 
Sambungkan 2 straw dan buat 6 set. Susun sama rata kemudian sapukan gam lilin panas (hot glue). Tanpa menggunakan 'pistol' gam panas, anda boleh juga bakar 'hot glue stick' menggunakan api lilin (3 atau 4 saat) dan sapukan(berhati-hati, gam lilin panas boleh melecurkan kulit tangan anda) di tengah-tengah susunan straw (Rajah 1).

Langkah #2:
Tiga susunan straw lainnya dilekatkan  bersilang di tengah-tengah susunan 3 straw sebelumnya sama tengah (Rajah 2).




Langkah #4:
Lekatkan 1 straw di tengah-tengah menghala ke arah Barat Laut (tiang tambahan) dan satu staw lagi menghala ke arah Timur Laut (straw anyaman) . - (Rajah 3)

Nota: Tidak kira saiz kraf yang ingin dihasilkan, tiang-tiang Taja/Tapak kraf mestilah dalam bilangan ganjil, kerana jika ia genap, lingkaran anyaman tidak akan bersilang sebaliknya bertemu bila anyaman lengkap satu pusingan 

Langkah #5:
Renggangkan semua tiang-tiang tapak kraf dan pastikan sudut-sudut antara tiang adalah sama besar. Jumlah bilangan tiang adalah 11 dan satu adalah digunakan untuk anyaman. (Rajah 4)

Proses-proses menyediakan Taja/Tapak kraf selesai. Seterusnya adalah proses menganyam tapak dan dinding kraf ............................


Sumber rujukan : Seni Kraftangan Surat Khabar Lama Edisi A  Rozaz Crafts.





Wednesday, January 20, 2010

Teknik Menggulung Kertas Untuk Membuat Straw Anyaman



Langkah #1:  
Kedudukan lidi penggulung adalah disebelah bucu kanan bawah dan 80 darjah ke kanan. (Jika anda kidal, lidi penggulung adalah di sebelah bucu kiri bawah dan 80 darjah ke kiri.)



Langkah #2:
Gunakan jari telunjuk & jari tengah kiri dan kanan. Lipat sedikit bucu kertas (separuh dari lilitan  lidi penggulung) sekadar untuk menggerakkan lidi  menggulung kertas. - (Foto #1)

Langkah #3: 
Perlahan-lahan gerakan jari-jari kanan & kiri sebanyak 6 atau 7 pusingan dan berhenti. Tahan straw dengan jari kiri dan keluarkan lidi penggulung. Kemudian, dengan jari kiri masih lagi menahan straw, gerakan gulungan straw dengan jari kanan sebanyak 2 pusingan dan berhenti sekejap ('pause').  - (Foto #2)

Langkah #4:
Serentak kedua-dua belah jari, teruskan menggulung lurus ke depan dan pastikan bucu kanan atas berkedudukan di tengah straw. - (Foto #3)




Langkah #5: 
Sapu gam pada bucu kertas, lekatkan dengan kemas dengan memutar-mutarkan straw. Hasilnya, satu straw yang berhujung runcing dan besar di pangkalnya. Gulung kertas  untuk hasilkan straw sebanyak 21 batang. -  (Foto #4, #5 dan #6)

Langkah #6: 
Akhir sekali adalah menguji straw. Sambungkan dua staw dengan memasukkan hujung runcing 1 straw ke bahagian pangkal (besar) straw yang satu lagi. Masukkan seberapa dalam yang boleh dan                     kemaskan dengan memutar-mutar straw (skrew). - (Foto # 7)




Teknik asas menggulung straw ini adalah penting kerana penghasilan straw yang tidak menepati prosesnya akan menyebabkan kesulitan proses menganyam (sambungan straw tidak dapat dilakukan dengan sempurna).

Ok, selamat mencuba. Kita akan beralih ke pelajaran seterusnya iaitu menyediakan 'Taja'/Tapak kraf ...........

Sumber Rujukan : Seni Kraftangan Surat Khabar Lama Edisi A - ROZAZ CRAFTS   


Tuesday, January 19, 2010

Membuat Alat Penggulung


Dengan menggunakan pisau pemotong kertas, raut separuh dari sebatang lidi satey hingga ke hujung runcing. Halus lebih kurang 1 mm. Pastikan rautan lidi menjadi licin dan bulat (tiada kesan bersegi untuk mengelak masalah semasa menggulung kertas). Lidi buluh adalah lebih sesuai dari lidi kelapa kerana ianya liat serta tahan lama. Teknik menggulung yang akan dipaparkan nanti adalah berbeza dari teknik menggulung menggunakan lidi kelapa yang panjang.
Straw yang dihasilkan melalui teknik gulungan lidi pendek ini akan memudahkan proses menyambung straw. Straw akan menjadi lebih kuat, padat dan mudah lentur dan memudahkan proses menganyam.











Proses Memotong Naskah Akhbar Lama


(Paparan teknik & proses membuat bakul mini adalah dengan ehsan & kebenaran pihak
Rozaz Crafts . com melalui rujukan e-buku Seni Kraftangan Surat Khabar Lama Edisi A)


Langkah-langkah:

#1. Keluarkan 3 atau 4 helaian dari naskah akhbar lama. Gunting
1 cm dari sisi tepi yang bergigi & ada kesan-kesan lubang.

(Foto #1)

#2. Gunting 1 cm dari sisi lipatan (Foto #2)

(Foto #2)


#3. Lipat sama tengah (Foto #3)

(Foto #3)

#4. Buka lipatan & gunting garisan lipatan. (Foto #4)

(Foto #4)


#5. Ulangi langkah #3 & #4. Ini adalah saiz ('C') yang diperlukan
untuk membuat bakul mini (bakul telur) - (Foto #5)

(Foto #5)

PROJEK: BAKUL MINI (BAKUL TELUR)


Proses-proses:
  1. Menggunting Naskah Akhbar Lama
  2. Membuat alat penggulung (meraut lidi buluh/lidi satey)
  3. Menggulung kertas menjadi straw
  4. Membuat Taja/tapak kraf
  5. Menganyam tapak & dinding kraf
  6. Membuat tangkai bakul
  7. Mewarna kraf

Teknik Asas Seni Kraftangan Kertas Akhbar Lama


Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Bapak-bapak, ibu-ibu, kakak-kakak, abang-abang & adik-adik yang berminat belajar macamana cara-cara nak buat kraftangan dari kertas surat khabar lama.

Mungkin sebahagian dari anda hanya berminat untuk jadikannya satu hobi dan yang lainnya pula belajar mahirkan diri untuk menjadi seorang pengusaha kraftangan. Tak kiralah apa pun tujuannya, yang penting sekali adalah MINAT nak belajar. Ada sesetengah orang minat juga, tapi sekadar melihat 'je', tak minat untuk memiliki (membeli) kraftangan pun.

Untuk berjaya dalam apa juga bidang yang ingin diceburi, ciri-ciri atau kriteria-kriteria berikut perlu ada pada diri seseorang itu:

  • Minat yang mendalam.
  • Kesungguhan
  • Kesabaran.
  • Tekun
  • Tidak mudah putus asa.
Kalau dulu, bidang anyaman (rotan & buluh) ini sinonim dengan golongan orang-orang cacat penglihatan (lelaki & wanita). Kalau kita perhatikan dan pandang dengan mendalam, kita akan rasa kagum dengan kelebihan seni yang Tuhan beri kepada golongan ini - buta mata tapi dapat menghasilkan kraftangan yang cukup cantik, kemas dan mempunyai nilai seni yang tak ternilai!

Ada pula yang beranggapan kerja seni menganyam kraf ini hanya sesuai untuk kaum wanita, sebenarnya anggapan tersebut tidak tepat dan rasional. Sebagai bandingannya, dahulu kerja memasak selalu dikaitkan dengan kaum hawa, hakikatnya hari ini terlalu ramai kaum adam yang menjadi 'Chef' di hotel-hotel seluruh dunia. Seni Anyaman Kraftangan ini adalah 'universal', untuk semua jantina dan pelbagai peringkat umur. Hakikatnya ramai lelaki dan wanita (suami-isteri) kini yang menjadi usahawan kraftangan surat khabar lama di seluruh Malaysia.

Sebelum dipaparkan teknik-teknik asas membuat kraftangan kertas surat khabar lama, saya (Azrai) ingin melontarkan dua perkara untuk anda pilih:

  1. Kumpul sebanyak-banyak surat khabar lama dan jualkannya ke pusat kitar semula dengan harga RM00.20 se-kilo gram. ..... atau,
  2. Proses dan tukarkan 1 kilo gram surat khabar lama menjadi sebuah kraftangan dan dijual dengan harga RM20.00
Yang mana satu menjadi pilihan anda?

Jika 1. adalah jawapan anda.....................anda memang bijak, dapat juga duit, kan?

Jika 2. pilihan anda............... anda bukan saja bijak, malah anda adalah seorang yang KREATIF dan pengusaha kraftangan surat khabar lama yang mendapat pulangan serta keuntungan yang lumayan!! Jadi, JOM kita belajar buat kraftangan surat lama.....................................